Kampung Bukit Tunggal terletak berhampiran laluan utama menghubungkan Bandar Tangkak (Daerah Tangkak) dan Bandar Segamat. Bandar yang paling hampir adalah Bandar Segamat yang jaraknya adalah sejauh 13 kilometer [sama panjang dengan Jambatan Pulau Pinang]. Pekan yang paling hampir pula adalah Pekan Jementah dan Pekan Batu Anam yang jarak kedua-duanya dengan kampung ini adalah sejauh 9 kilometer. Kampung ini juga terletak berdekatan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor - Segamat (kira-kira 3 kilometer). Jarak ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat pula adalah 7.5 kilometer. Jarak ke Kem Segamat (Artileri) adalah 11.5 kilometer. Manakala jarak ke Pusat Latihan FELCRA Tebing Tinggi pula adalah sejauh 6 kilometer.

Suatu ketika dahulu, Kampung Bukit Tunggal terletak di atas satu laluan utama yang menghubungkan antara Bandar Gemas dan Pekan Jementah. Laluan tersebut amat penting ketika itu bagi mangangkut hasil tuaian pertanian seperti getah dari Ladang Jementah ke Stesen Keretapi Gemas. Menurut bekas Imam Masjid Jamek Kampung Bukit Tunggal, Tuan Haji Yaseh bin Derin; jalan tersebut pada mulanya adalah jalan tanah biasa dan kemudiannya ditambak dengan tanah merah (kerikil) oleh pemilik Ladang Jementah. Penambakan tersebut adalah atas permintaan Sultan Johor ketika itu dan sebagai balasan dari istana, cukai bagi Ladang Jementah diturunkan ke paras paling minima iaitu 1 peratus setahun.

Untuk makluman, jalan tersebut masih ada hingga kini dan sering digunakan oleh orang kampung dan penoreh getah dari Segamat, Batu Anam dan Jementah. Laluan tersebut juga sering digunakan ketika jalan antara Batu 8 dan Batu 9 ditenggelami air banjir.

Kampung Bukit Tunggal dahulunya dikenali sebagai Kampung Jementah (kini diakui sebagai Jementah 5). Kemudian ditukar kepada Kampung Bukit Satu. Pada tahun 1938, sebuah sekolah telah didirikan dan ia dinamakan sebagai Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal oleh Penghulu Puntong (Penghulu Jementah Ke-5). Lalu serentak dengan penamaan sekolah tersebut, kampung ini ditukar kepada Kampung Bukit Tunggal.

Sehingga kini, kampung ini telah diketuai oleh lima orang ketua kampung iaitu:
1. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul (Allahyarham)
2. Tuan Haji Abidin bin Keseng (Allahyarham)
3. Tuan Haji Muhamat bin Haji Hasim (Allahyarham)
4. Encik Bahrom bin Haji Ahmad (sehingga 31 Mei 2018)
5. Encik Faizal bin Haji Muhamat (01 November 2018)

Tuan Haji Md. Ta bin Junid (Allahyarham) - Penghulu Jementah Ke-3